Detik dan waktu sentiasa sahaja berlari. Berdesup tanpa menoleh walau sekilas ke belakang. Namun aku masih lagi keciciran di sini. Tertinggal dalam suatu relung masa yang sentiasa menghimpit serta melemaskan. Aku ingin berlari mengejar waktu yang sebenar. Kerana relung masa ini telah lama bemberi kepahitan dalam hidup. Aku ingin keluar dari kesengsaraan kenangan. Sesuatu yang tertinggal bersama mimpi yang sentiasa menghalang perjalanan....
Sering aku berharap....seandainya ada keajaiban terundurnya masa, atau setidaknya terhentinya barang seketika sesuatu yang bernama masa itu.... Pasti akan kujejaki laluan yang pernah meninggalkan aku dahulu. Kan kuhulurkan tangan untuk dipimpin agar mampu berlarian seriringan bersama masa! Akan kuperbaiki kesilapan lalu. Akan kutinggalkan penderitaan lalu. Penderitaan yang pernah malah sering membelenggu kehidupan.....
Akan berlakukah? Akan berundurkah masa? Akan mampukah aku berlari mengejar setiap detik yang berlalu? Akan...... Aku bermimpi sebenarnya. Bermimpi atau mengimpikan sesuatu yang bukan milik. Dan bila tersedar aku pasti masih begini. Masih lagi di sini........